Adakah anda gembira hari ini

Sunday, August 15, 2010

EMPAT TUNTUTAN"DIBULAN RAMADAN

 
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." 
Surah Al Baqarah: 183  

Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ia merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran dan waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa:

"Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."  

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah"  dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah" . Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."  

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.

Selamat beribadat dan wassalam

Wednesday, August 4, 2010

HIKMAH BERPUASA


Dari Abu Hurairah R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: Semua amalan anak Adam dilipatgandakan. Satu kebaikan dilipat gandakan menjadi sepuluh kali lipatnya hingga tujuh ratus kali lipat.

Allah S.W.T berfirman: Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Aku sendiri yang akan membalasnya, yang demikian itu karena dia meninggalkan syahwat dan makannya kerana Aku.

Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kebahagiaan. Kebahagiaan ketika berbuka dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Rabb-nya. Dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah dari bau misk.

Puasa adalah perisai. Jika salah seorang di antaramu berpuasa maka janganlah ia berbuat keji dan berkata-kata kotor. Jika seseorang mencelamu atau memerangimu, maka katakanlah kepadanya: Sesungguhnya aku seorang yang sedang berpuasa.

Takhrij Hadith:
1. Al-Bukhari. Kitab ash-Shiyam, bab Hal yaquulu Inni Shaaimun idza syutima no.1904
2. Muslim, Kitab ash-Shiyam, bab Fadhlu ash-Shiyam maa taqdim qa takhir fi killata ar-riwayatain.
3. At-Tirmidzi, dalam kitab ash-Shiyam.
4. An-Nasae
5. Abu Dawud
6. Ibnu Majah
7. Ahmad
8. Malik
9. Ad-Darimi

Pahala Amal Berlipat Ganda

Sesungguhnya hadith ini merungkai berbagai amalan secara umum dan khusus disamping keutamaan dan kekhususan pahala segera yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T sebagaimana yang ditentukan dan dijanjikan olehNya. Hadith ini juga merungkai hikmah dan maksud berpuasa. Disamping itu hadith ini memberikan penerangan berkenaan kelakuan yang harus dilakukan ketika seseorang berpuasa.

Secara umumnya semua jenis amalan yang disuruh kita laksanakan baik berupa perkataan, perbuatan, secara zahir dan batin ketika sedang berpuasa baik yang berkaitan dengan hak-hak Allah ataupun hak-hak para hamba akan dilipat gandakan dari sepuluh kali hingga tujuh ratus kali, bahkan sampai tak terhingga. Ini menunjukkan betapa besarnya kurniaan kasih sayang dan rahmat Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya yang berpuasa.

Renungkanlah. Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubaraq

Tuesday, August 3, 2010

SELAMAT KEMBALI RAMADHAN AL-MUBARAQ

 
Alhamdulillah dapat lagi sekali kita berjumpa dengan bulan Ramadhan Al-Mubaraq, seseungguhnya Allah S.W.T masih memberikan kita peluang untuk memperbaiki diri. Sekadar merenung kedatangan bulan yang penuh berkat ini, di dalam blog ini di nyatakan cara-cara untuk kita bersiap bagi mendapatkan keberkatan di bulan yang mulia yang akan menjelang lagi seminggu. Semoga persiapan kita menjadikan ibadah berpuasa dan berbagai ibadah lainnya, sebagai yang terbaik dalam sejarah Ramadhan yang pernah kita lalui. Insyallah.

Persiapan Pertama: إعداد الروحية (Spiritual)



Orang-orang solleh kebiasaannya melakukan persiapan ini seawal mungkin sebelum datang Ramadhan. Bahkan mereka sudah merindukan kedatangannya sejak bulan Rajab dan Syaaban.

Biasanya mereka berdoa :  

"Ya Allah, berikanlah kepada kami keberkatan pada bulan Rajab dan Sya'ban, serta sampaikanlah kami kepada Ramadhan."


Dalam rangka persiapan spiritual itu, dalam surah At-Taubah Allah melarang kita melakukan berbagai maksiat dan kezaliman sejak bulan Rejab. Tapi bukan bererti di bulan lain dibolehkan. Hal ini dimaksudkan agar sejak bulan Rejab kadar keimanan kita sudah meningkat. Boleh dikiaskan, bulan Rejab dan Syaaban adalah masa pemanasan (warming up), sehingga ketika memasuki Ramadhan kita sudah boleh menjalani ibadah puasa dan sebagainya itu ibarat sudah biasa.


Persiapan Kedua: Kedua: التحضير البدني(Jasmani)
 


 Bagi menempuh bulan Ramadhan, kita memerlukan jasmani yang lebih mantap dari biasanya jika jasmani lemah, kemuliaan yang dilimpahkan Allah pada bulan Ramadhan tidak dapat kita raih secara optimal.


Maka, sejak bulan Rejab Rasulullah dan para sahabat membiasakan diri melatih fizikal dan mental dengan melakukan puasa sunat, banyak berinteraksi dengan al-Qur'an, biasa bangun malam (qiyamul-lail), dan meningkatkan aktiviti kemasyarakatan.


Persiapan Ketiga إعداد الملكية (Harta)


Persiapan harta di sini membawa maksud persiapan untuk melipatgandakan sedekah, kerana Ramadhan merupakan bulan untuk memperbanyak sedekah, bukannya untuk membeli keperluan buka puasa atau hidangan hari raya sebagaimana tradisi kita selama ini. Ini adalah kerana pahala bagi mereka yang bersedekah pada bulan ini berlipat ganda dibandingkan bulan-bulan biasa.



Persiapan Keempat الفكرية والعلمية إعداد (Intelektual dan keilmuan)



Agar ibadah Ramadhan boleh optimal, diperlukan bekal wawasan dan tashawur (persepsi) yang benar tentang Ramadhan. Caranya dengan membaca berbagai bahan rujukan dan menghadiri majlis ilmu tentang Ramadhan.

Kegiatan ini berguna untuk mengarahkan kita agar beribadah sesuai tuntunan Rasulullah SAW, selama Ramadhan. Menghafal ayat-ayat dan doa-doa yang berkait dengan perlbagai jenis ibadah, atau menguasai berbagai masalah dalam fiqh puasa, juga penting untuk dipersiapkan.