Adakah anda gembira hari ini

Sunday, August 15, 2010

EMPAT TUNTUTAN"DIBULAN RAMADAN

 
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." 
Surah Al Baqarah: 183  

Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ia merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran dan waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa:

"Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."  

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah"  dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah" . Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."  

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.

Selamat beribadat dan wassalam

Wednesday, August 4, 2010

HIKMAH BERPUASA


Dari Abu Hurairah R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: Semua amalan anak Adam dilipatgandakan. Satu kebaikan dilipat gandakan menjadi sepuluh kali lipatnya hingga tujuh ratus kali lipat.

Allah S.W.T berfirman: Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Aku sendiri yang akan membalasnya, yang demikian itu karena dia meninggalkan syahwat dan makannya kerana Aku.

Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kebahagiaan. Kebahagiaan ketika berbuka dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Rabb-nya. Dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah dari bau misk.

Puasa adalah perisai. Jika salah seorang di antaramu berpuasa maka janganlah ia berbuat keji dan berkata-kata kotor. Jika seseorang mencelamu atau memerangimu, maka katakanlah kepadanya: Sesungguhnya aku seorang yang sedang berpuasa.

Takhrij Hadith:
1. Al-Bukhari. Kitab ash-Shiyam, bab Hal yaquulu Inni Shaaimun idza syutima no.1904
2. Muslim, Kitab ash-Shiyam, bab Fadhlu ash-Shiyam maa taqdim qa takhir fi killata ar-riwayatain.
3. At-Tirmidzi, dalam kitab ash-Shiyam.
4. An-Nasae
5. Abu Dawud
6. Ibnu Majah
7. Ahmad
8. Malik
9. Ad-Darimi

Pahala Amal Berlipat Ganda

Sesungguhnya hadith ini merungkai berbagai amalan secara umum dan khusus disamping keutamaan dan kekhususan pahala segera yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T sebagaimana yang ditentukan dan dijanjikan olehNya. Hadith ini juga merungkai hikmah dan maksud berpuasa. Disamping itu hadith ini memberikan penerangan berkenaan kelakuan yang harus dilakukan ketika seseorang berpuasa.

Secara umumnya semua jenis amalan yang disuruh kita laksanakan baik berupa perkataan, perbuatan, secara zahir dan batin ketika sedang berpuasa baik yang berkaitan dengan hak-hak Allah ataupun hak-hak para hamba akan dilipat gandakan dari sepuluh kali hingga tujuh ratus kali, bahkan sampai tak terhingga. Ini menunjukkan betapa besarnya kurniaan kasih sayang dan rahmat Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya yang berpuasa.

Renungkanlah. Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubaraq

Tuesday, August 3, 2010

SELAMAT KEMBALI RAMADHAN AL-MUBARAQ

 
Alhamdulillah dapat lagi sekali kita berjumpa dengan bulan Ramadhan Al-Mubaraq, seseungguhnya Allah S.W.T masih memberikan kita peluang untuk memperbaiki diri. Sekadar merenung kedatangan bulan yang penuh berkat ini, di dalam blog ini di nyatakan cara-cara untuk kita bersiap bagi mendapatkan keberkatan di bulan yang mulia yang akan menjelang lagi seminggu. Semoga persiapan kita menjadikan ibadah berpuasa dan berbagai ibadah lainnya, sebagai yang terbaik dalam sejarah Ramadhan yang pernah kita lalui. Insyallah.

Persiapan Pertama: إعداد الروحية (Spiritual)



Orang-orang solleh kebiasaannya melakukan persiapan ini seawal mungkin sebelum datang Ramadhan. Bahkan mereka sudah merindukan kedatangannya sejak bulan Rajab dan Syaaban.

Biasanya mereka berdoa :  

"Ya Allah, berikanlah kepada kami keberkatan pada bulan Rajab dan Sya'ban, serta sampaikanlah kami kepada Ramadhan."


Dalam rangka persiapan spiritual itu, dalam surah At-Taubah Allah melarang kita melakukan berbagai maksiat dan kezaliman sejak bulan Rejab. Tapi bukan bererti di bulan lain dibolehkan. Hal ini dimaksudkan agar sejak bulan Rejab kadar keimanan kita sudah meningkat. Boleh dikiaskan, bulan Rejab dan Syaaban adalah masa pemanasan (warming up), sehingga ketika memasuki Ramadhan kita sudah boleh menjalani ibadah puasa dan sebagainya itu ibarat sudah biasa.


Persiapan Kedua: Kedua: التحضير البدني(Jasmani)
 


 Bagi menempuh bulan Ramadhan, kita memerlukan jasmani yang lebih mantap dari biasanya jika jasmani lemah, kemuliaan yang dilimpahkan Allah pada bulan Ramadhan tidak dapat kita raih secara optimal.


Maka, sejak bulan Rejab Rasulullah dan para sahabat membiasakan diri melatih fizikal dan mental dengan melakukan puasa sunat, banyak berinteraksi dengan al-Qur'an, biasa bangun malam (qiyamul-lail), dan meningkatkan aktiviti kemasyarakatan.


Persiapan Ketiga إعداد الملكية (Harta)


Persiapan harta di sini membawa maksud persiapan untuk melipatgandakan sedekah, kerana Ramadhan merupakan bulan untuk memperbanyak sedekah, bukannya untuk membeli keperluan buka puasa atau hidangan hari raya sebagaimana tradisi kita selama ini. Ini adalah kerana pahala bagi mereka yang bersedekah pada bulan ini berlipat ganda dibandingkan bulan-bulan biasa.



Persiapan Keempat الفكرية والعلمية إعداد (Intelektual dan keilmuan)



Agar ibadah Ramadhan boleh optimal, diperlukan bekal wawasan dan tashawur (persepsi) yang benar tentang Ramadhan. Caranya dengan membaca berbagai bahan rujukan dan menghadiri majlis ilmu tentang Ramadhan.

Kegiatan ini berguna untuk mengarahkan kita agar beribadah sesuai tuntunan Rasulullah SAW, selama Ramadhan. Menghafal ayat-ayat dan doa-doa yang berkait dengan perlbagai jenis ibadah, atau menguasai berbagai masalah dalam fiqh puasa, juga penting untuk dipersiapkan.

Friday, July 30, 2010

LUASNYA NERAKA



Dari Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik R.A. berkata: Malaikat Jibrail telah datang kepada Nabi S.A.W. pada waktu yang bukan masa ia datang yang mana ia dalam keadaan berubah mukanya. Maka Nabi S.A.W. pun bertanya "Mengapa aku melihat kau berubah muka?" 

Malaikat Jibril pun menjawab "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya".

Lalu Nabi S.A.W. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam". Maka Jibril menjawab "Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya".

Jibril pun menyambung jawapannya, "Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi  S.A.W. bertanya, "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?" Jibril menjawab "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda."

Rasulullah S.A.W. menyambung pertanyaan, "Siapakah penduduk masing-masing pintu?" Maka Jibrail pun menjawab, "Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah; Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim; Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar; Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha; Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah; Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir.

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah S.A.W. sehingga baginda bertanya, "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?" Jibril menjawab' "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat."

Setelah mendengar jawapan Jibril itu maka Nabi S.A.W. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah baginda sedar Nabi S.A.W. bersabda, "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?" Jibril menjawab "Ya ada Rasulullah S.A.W. iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu". 

Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku.Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu adalah:
  1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
  2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
  3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
  4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
  5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
  6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
  7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
  8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
  9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
  10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
  11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat
Di petik dari Kitab Peringatan Bagi Yg Lalai

Tuesday, July 27, 2010

DOA KEPADA KEDUA IBUBAPA PEMBUKA PINTU REZEKI

Mendengarkan celoteh Dr. Fazilah Kamsah menerusi corong TV kadang-kadang membuat kita berfikir akan apa yang telah kita buat untuk diri kita sendiri. Ada satu penerangan Dr. Fazilah Kamsah yang amat menarik perhatian berkenaan membuka pintu rezeki. Beliau berkata "Setiap pagi sedekahkan Al-Fatihah kepada kedua ibubapa kamu, tidak kira sama ada mereka masih hidup ataupun telah meninggal dunia, nescaya pintu rezekimu akan terbuka".

Mendengarkan celoteh Dr. Fazilah Kamsah maka teringat saya kepada satu hadith yang saya pernah baca yang mana Rasullullah S.A.W. " Tidak akan terputus rezeki seseorang anak selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tuanya dalam sehari"

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada kedua-dua penerangan ini:

  1. Jangan sesekali meninggalkan doa kepada kedua ibubapa (baik yang hidup mahupun yang sudah tiada)
  2. Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki kepada mereka yang tidak putus2 berdoa kepadakedua ibu bapa (hidup atau mati)
  3. Ingatlah bahawa keredhaan ibubapa adalah keredhaan Allah S.W.T.
  4. Semasa berdoa, berdoalah dengan bersungguh-sungguh tadah tangan dan bayangkan wajah kedua orang tua kita , termasuk guru-guru, dan mereka-mereka yang banyak menolong kita.
  5. Mereka yang lupa berdoa kepada kedua orang tua, akan disempitkan rezeki oleh Allah SWT.
Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita dapat dari Allah S.W.T. InsyaAllah dengan segala usaha yang telah dibuat, kita perlu bertawakal kepada Allah S.W.T. InsyaAllah jika dizinkan Allah S.W.T. maka kita akan memperolehi apa yang diusahakan.

Rezeki itu bukan kerana disebabkan seseorang itu ada sijil tapi dengan hati yang tulus ikhlas dan doa untuk ibu dan bapa kita. Sijil itu merupakan penyebab kepada kejayaan tersebut jika tidak dizinkan Allah S.W.T maka kita tidak akan memperolehi cita-cita yang kita harapkan.

Wallahualam

Monday, July 26, 2010

PERJALANAN KEHIDUPAN SELEPAS KIAMAT


Dunia ini hanyalah jambatan menuju ke negeri yang kekal abadi iaitu Alam Akhirat oleh yang demikian adalah baik jika mengenang perjalanan kita sebagi manusia ini yang masih belum tamat. Selepas terjadinya kiamat maka beberapa siri kejadian akan berlaku... Wallahualam.

Selepas malaikat Israfil A.S. meniup sangkakala (dikatakan sangkakala itu berbentuk tanduk besar) yang amat memekakan telinga, mana-mana makhluk di alam semesta ini akan mati kecuali Malaikat Izrail A.S. dan beberapa malaikat yang lain, sehinggalah Malaikat Izrail mencabut nyawa malaikat yang lain termasuklah nyawanya sendiri.

Selepas semua makhluk mati, Allah S.W.T. pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan
Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil A.S. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang
rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam A.S. yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan
hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal),
berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti
keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul
atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad S.A.W. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang
menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan
rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

  1. Pemimpin yang adil.
  2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah S.W.T.
  3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
  4. Dua orang yang bertemu kerana Allah S.W.T dan berpisah kerana Allah S.W.T.
  5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan
    berkata “Aku takut pada Allah S.W.T”.
  6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang
    ramai).
  7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah S.W.T. lalu mengalir air
    matanya kerana takutkan Allah S.W.T.
Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka
mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam A.S. tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam A.S. menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh A.S., Nabi Ibrahim A.S., Nabi Musa A.S., Nabi Isa A.S. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam A.S.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah S.AW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang
malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi. ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah
(bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan
malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat. Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih
kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad S.A.W., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para imam 4
mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

Syafaat Nabi Muhammad S.A.W. di akhirat tertakluk kepada keizinan AllH S.W.T :

  1. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan
    mempercepatkan hisab.
  2. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
  3. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000
orang yang lain.

Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Petikan dari Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong .” 
(An-Nahl ayat 105)

“Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka.”

(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

RAHMAT DAN KASIH SAYANG ALLAH S.W.T TIDAK MENGENAL HAMBANYA


Rasulullah S.A.W. pernah bersabda di dalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang mana mahumnya:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu”

Betapa luasnya rahmat dan kasihs sayang Allah S.W.T bagi hamba-hambaNya yang tidak pernah sunyi daripada melakukan dosa. Sesungguhnya kasih sayang dan rahmat Alllah S.W.T itu luas dan terutamanya rahmat keampunan itu diberikan untuk setiap insan yang sedar dan menyesali perbuatan mereka dan lantas bertaubat. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun demikian seringkali rahmat Allah S.W.T itu selalu kelihatan hambar disebabkan oleh lidah-lidah sesetengah individu yang arif tentang agama. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama malangya tidak dapat membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. Kadangkala mereka ini hanya tahu menghukum dan bersifat keras tanpa ihsan. Sedangkan Rasullullah S.A.W. mengajarkan islam itu dengan ilmu, amal dan ihsan kepada penduduk-penduduk Makkah walaupun berbagai cercaan dan caci maki yang dilemparkan kepada baginda.

Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya”
(Surah al-Hijr 49-50)

ALLAH S.W.T HINA ATAU MULIANYA HAMBA-HAMBA 

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut di dalam bahasa arabnya ialah ‘mumisah’ iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa di nilai secara buruk oleh mana-mana masyarakat pun dan anjing adalah binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjing’ adalah satu ungkapan buruk dan hina dalam berbagai bangsa dan budaya.

Walaupun begitu Rasullah S.A.W. telah mengambil contoh seorang wanita penzina yang memberi minum kepada seekor anjing mendapat keampunan Allah S.W.T. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.Kehinaan atau kemuliaan seseorang itu bukan terletak di mata manusia tetapi ia adalah milik Allah S.W.T.

SYURGA ITU MURAH HARGANYA

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!

Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah S.W.T mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah S.W.T.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah S.W.T disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah S.W.T berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah S.W.T disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.

Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah S.W.T mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah S.W.T, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah S.W.T pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.

BANYAK DAN SEDIKIT AMALAN TETAPI YANG PENTING ADALAH KEIKHLASAN

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.

Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah S.W.T. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah S.W.T dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah S.W.T. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah S.W.T. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.

TIDAK SAMPAI AJARAN

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah S.W.T tahu tentang dirinya, Allah S.W.T tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah S.W.T ampuninya. Demikian Allah S.W.T akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.

Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah S.W.T akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah S.W.T. Apatah lagi menyebut:

“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul”
(Surah al-Isra; ayat 15).

Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah S.W.T itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah S.W.T mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah S.W.T, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.

KESEDARAN DIRI

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah S.W.T, hanya Allah S.W.T Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang.

Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah S.W.T lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah S.W.T!